
Tajuk Buku : Manifestasi Tinta
Penerbit : Biro Thaqafah & Kebudayaan, Badan Kebajikan Mahasiswa Negeri Sembilan Jordan (BKMNS) Sesi 2004/2005
Tahun Terbit : 2005
Jumlah Mukasurat : 120 ms
Genre : Sajak, Puisi, Cerpen dan Esei pendek (Tazkirah).
Editor : Siti Nurulhuda bt Abd Manap
Pengarang :
Adibah bt Bahori - 1 tazkirah
Anizah bt Abu Samah - 3 cerpen
Asyraff Hafdzan b Abdullah - 5 puisi
Azmira bt Mohd Said - 1 tazkirah
Fazleyani bt Arifin - 3 tazkirah
Mohd Adam Zurairi b Mohd Rawi - 1 tazkirah
Normarhizan bt Abdul Razak - 1 tazkirah
Normarlina bt Mohamad Lutpi - 1 tazkirah
Said Muhammad Jamaluddin b Bachik - 27 sajak (termasuk 1 poem)
Siti Hajar bt Abdol Razak - 1 tazkirah, 2 sajak
Siti Salma bt Wahiduddin - 2 sajak, 1 tazkirah
Siti Zakirah bt Hassan - 1 tazkirah
Umihany bt Suparman - 1 tazkirah
Pengulas : Asyraff Hafdzan Abdullah
Pertama kali melihat rupanya yang agak pelik, hati saya terdetik, apakah antologi Manifestasi Tinta (MT) ini terbitan mana-mana pergerakan puteri?
Setelah mendapatkan naskhah percuma milik saya, saya mula membelek dan pada ketika itulah baru saya mengerti mengapa antologi ini diwarnakan sebegitu rupa. Anda tahu mengapa? Editornya adalah seorang siswi!
Antologi setebal 120 mukasurat ini menghimpunkan karya-karya ahli Badan Kebajikan Mahasiswa Negeri Sembilan Jordan (BKMNS). Himpunan koleksi tazkirah, puisi, sajak dan cerpen ini bolehlah dikatakan sebagai usaha pertama yang dibuat dalam bidang penerbitan buku karya kreatif siswa-siswi Jordan.
Disebabkan ia adalah yang awal-awal dan mula-mula, saya kira agak banyak kelemahan yang terlihat dalam penghasilan antologi ini. Mungkin kerana kekurangan pengalaman, kesempitan ruang dan masa, maka antologi ini dapat kita kesan kelemahan dari sudut pengeditan dan tapisan karya.
Jarang sekali kita temui ulasan buku yang diulas oleh penulis buku itu sendiri. Meskipun saya sendiri terlibat menyumbang karya di dalam MT ini, namun biarlah saya menjadi antara yang jarang-jarang itu.
Antologi ini agak kurang seimbang isi kandungannya kerana jumlah puisi dan sajak yang terlalu banyak menenggelamkan sedikit karya cerpen dan tazkirah yang lain. Begitu juga dengan 'kebanjiran' karya seseorang penulis sehingga antologi ini dilihat mempromosikan beliau pula. :) Senyum untuk beliau.
Seharusnya MT menampilkan lebih banyak karya daripada semua penulis, sekurang-kurangnya dua atau tiga. Dalam MT juga, kita dapat melihat kecenderungan para penulis yang hanya menumpukan pada satu genre sahaja. Yang cerpen hanya kepada cerpen, yang puisi dan sajak begitu juga. Hanya ada dua penulis sahaja iaitu Siti Hajar Abdol Razak dan Siti Salma Wahiduddin yang mempunyai keupayaan dalam 2 genre.
Dalam sekian banyak kekurangan yang ada, antologi MT ini tetap mempunyai sesuatu yang bermakna. Ada tunas-tunas baru yang muncul yang saya kira mampu menembusi pasaran media di tanahair. Antaranya ialah Anizah Abu Samah, seorang cerpenis yang sudahpun menghasilkan banyak karya di media massa Malaysia. Anizah sudah berjaya menembusi Dewan Agama dan Falsafah serta majalah Anis. Selain itu, beberapa pentazkirah seperti Siti Hajar Abdol Razak, Siti Zakirah Hassan dan Normarlina Mohamad Lutpi berjaya menulis esei tazkirah mereka dengan baik, dengan rujukan dalil tentunya. Juga, Said M. Jamaluddin yang banyak menulis sajak, sekiranya diperkukuhkan lagi ilmu penyajakan beliau dan disalurkan ke media massa tanahair, saya kira beliau boleh pergi lebih jauh.
Sekiranya anda ingin memiliki Manifestasi Tinta ini, anda bolehlah menghubungi saya di emel: asyraffdini@yahoo.com. Saya sedia menanti pesanan anda. Harga naskhah pink yang comel ini anda boleh dapatkan dengan harga RM10(RM8 harga kos+RM2 pos) termasuk belanja pos(saya mengirim dari Jordan, dua ringgit sudah tentu tidak cukup!). Yang lebih-lebih itu, biarlah saya yang membelanja anda.
Yang penting, ikhlaskan niat anda membeli untuk membantu perkembangan sastera Islam!
Posted at 11:27 pm by wewr
Permalink